Tulang2 Berserakan - Usman Awang


Penulis : Dato' Usman Awang
Judul : Tulang2 Berserakan
Grafik & Atur Huruf : Emila Yusof
Penerbit : UA Enterprises Sdn Bhd (2006)
ISBN : 983-3742-00-9

Buku ini adalah sebuah tulisan daripada seorang penulis yang tidak harus diperkenalkan lagi. Dato' Usman Awang yang sering menulis puisi-puisi yang puitis kali ini melahirkan sebuah novel pula. Novel ini dicetak kali pertamanya pada 1966.

Melihat kepada kulit buku ini, dilatari dengan warna 'senja'. Jingga bercampur hitam, layaknya warna dan suasana di kala matahari hampir terbenam. Di samping gambar kawat duri yang juga merupakan satu-satunya gambar yang menghiasi muka depan buku ini. Juga terdapat tulisan 'tulang2 berserakan' yang menjadi judul untuk buku ini, sementara nama penulisnya diletakkan pada sudut bawah kulit depan buku ini. Kedua-dua tulisan ini diwarnakan dengan warna kuning.


Mengapa Kawat Duri?
Kawat duri biasanya digunakan untuk menandai sesuatu kawasan atau lapangan yang tidak dibenarkan sesiapa untuk memasukinya. Kawasan larangan. Atau juga sebagai isyarat kawasan peribadi yang tidak boleh dicerobohi.

Menggunakan kawat duri ini lebih kepada langkah keselamatan daripada ditembusi oleh mereka yang tidak berkenaan.

Apabila melihat kawat duri menjadi ilustrasi utama buku ini, ianya seolah mahu menceritakan mengenai sesuatu sempadan pemisah yang tidak boleh untuk dibolosi oleh sesiapa tanpa kebenaran. Sebuah kawasan larangan yang mana pencerobohnya boleh didakwa atau sahaja akan ditembak mati.

Dengan tajuknya Tulang2 Berserakan diposisikan di atas gambar kawat duri itu, memperkuatkan lagi hubungan kawasan larangan (gambar kawat duri) itu dengan perihal tulang yang berserakan akibat cubaan menembusi sempadan kawat tersebut.

Mungkin novel ini mengenai peperangan, pencerobohan, penjajahan, kekejaman, kematian, pengorbanan, atau yang sama makna dengannya. Pada kulit depan buku ini menceritakan segalanya.


Warna Kuning, kenapa?
Tulisan bagi judul novel ini, Tulang2 Berserakan, dicatatkan sebegitu. Bukan 'Tulang-tulang Berserakan' yang sepatutnya diletakkan. Penggunaan nombor '2' untuk kata berganda bagi tulang, seperti yang biasa digunakan ketika bersms, dilihat seperti pereka hias bagi kulit depan buku ini tidak mengambil berat soal ejaan yang betul dalam bahasa Melayu.

Atau mungkin sahaja memang Sasterawan Negara Dato' Usman Awang dengan sengaja mahu tajuk novelnya begitu, Tulang2 Berserakan untuk menampakkan kelainan, barangkali...?

Tajuk itu pula diwarnakan dengan warna kuning.

Mengikut kajian yang dilakukan oleh mereka yang mengkaji perihal warna ini, warna kuning selalu dikaitkan dengan kecerian, kegembiraan, kesenangan, kebahagian, dan juga keamanan. Sering dalam kebanyakkan kebudayaan, warna kuning dianggap sebagai warna diraja.

Ada juga yang mengertikan warna kuning ini sebagai warna emas yang menggambarkan tentang kemakmuran dan kemewahan.

Mungkin makna disebalik reka hias kulit hadapan buku ini seperti ini,

Pencerobohan, peperangan, penjajahan, dan keganasan yang dilakukan (ditafsirkan melalui ilustrasi kawat duri) oleh segolongan manusia ke atas kumpulan yang lain telah mengakibatkan pertumparan darah yang maha dahsyat sehingga tulang-tulang mereka yang terkorban berserakan. Namun disebalik situasi perang yang dihadapi itu, mereka yang syahid terkorban mempertahankan negara atau bangsa atau agama, akan mendapat kegembiraannya, kesenangannya, kemewahannya, nanti di hadapan Allah azzawajalla (tafsiran warna kuning)

Mungkin...

Sampai di sini sahaja kulit buku yang dilihat. Selamat memiliki dan menghayati makna sebuah kulit...
Read more

Juara - S Othman Kelantan



Penulis : S Othman Kelantan
Judul : Juara
Penerbit : Dewan Bahasa Dan Pustaka (2007)
ISBN : 983-62-8378-1


Sesebuah novel yang ditulis oleh seseorang yang mempunyai nama yang gah dalam dunia penulisan biasanya tidak memerlukan reka kulit yang bombastik. Cukup sekadar dituliskan nama penulisnya, menggunakan font besar, dan tajuk novel tersebut. Faktor nama penulis itu sudah cukup memberi kekuatan dan tarikan kepada pembaca untuk membelinya.

Begitu juga dengan novel Juara tulisan sasterawan negara ke-9 ini, S. Othman Kelantan. Novel yang berada di tangan saya ini adalah edisi khas sasterawan negara yang dicetak pada tahun 2007. Cetakan pertama novel ini pada tahun 1976.

Reka hias kulit depannya begitu ringkas. Nama penulis, judul novel, dan tulisan 'Edisi Khas Sasterawan Negara' itu di samping sebuah gambar atau lukisan yang perlu diperhatikan benar-benar baru dapat dipastikan apakah ia.

Gambaran yang menunjukkan seekor lembu yang sedang berlari dengan derasnya.

Mungkin dengan larian lembu itu sudah cukup untuk memberitahu khalayak pembaca bahawa novel ini berkisar pada cerita lembu. Lembu yang sedang kencang berlari? Lembu yang mengamuk? Lembu yang diancam lalu mengganas? Mungkin cerita sekitar itu.

Seluruh reka hias kulit buku ini dipenuhi dengan warna merah. Warna darah. Barangkali ada konflik yang cuba disampaikan melalui buhulan lembu dengan warna merah darah itu.

Selamat memiliki dan menghayati...
Read more

Putri - Putu Wijaya




Penulis : Putu Wijaya
Judul : Putri
Penerbit : PT Pustaka Utama Grafiti (2004)
ISBN : 979-444-433-2


Reka kulit buku ini berlatarkan warna hitam. Warna yang gelap, yang selalu diertikan dengan sesuatu kejahatan, kekotoran, kekalutan, kemisterian. Namun ada juga kini yang menganggap warna hitam adalah sesuatu yang elegan, yang bergaya, yang anggun, terutama apabila melibatkan feksyen pada pakaian dan si pemakai.

Disebalik warna kegelapan pada sebahagian besar kulit buku ini, ia turut menghadirkan warna putih di atas warna hitam tersebut. Warna kesucian dan kebersihan.

Putih di atas hitam.

Kejernihan membumbung kekusutan.

Kemuliaan disebalik kehinaan.

Warna putih pada kulit depan buku ini pula membentuk seekor burung yang sedang terbang sambil di paruhnya mengerip sekuntum bunga berserta tangkainya, yang juga berwarna keputihan.

Seolah simbolik kepada sesuatu yang bersih yang terperangkap di lembah yang kotor serta hina, dan cuba untuk terbang melepaskan diri dari kekotoran itu dengan membawa sesuatu yang bersih, yang harum, takwilan kepada bunga yang dibawa terbang sekali oleh burung tersebut.

Pada gambar burung putih itu pula, terdapat dart yang tepat mengenai pada badan burung tersebut.

Pemainan dart biasanya memerlukan pemainnya untuk melontarkan bilah dart ke atas papan yang disediakan. Gambaran dart di atas badan burung tersebut, menceritakan tentang seseorang yang mempunyai niat jahat terhadap watak burung itu sehingga sanggup menyakitinya dengan balingan dart tersebut.

Dari apa yang diberikan pada kulit depan buku ini kita dapat merumuskan begini,

Suatu watak yang baik, yang dikelilingi oleh sekalian banyak kejahatan, cuba melepaskan dirinya dari lingkungan kedurjanaan itu. Namun oleh kerana kedengkian suatu watak yang lainnya, telah melemparkan tikaman tajam yang menusuk ke atas watak baik tersebut.

Tajuk buku ini, Putri. Ditulis dengan tulisan berwarna biru muda. Kemungkinan Putri itu adalah watak utama di dalam buku ini dan ia juga barangkali mewakili simbol burung berwarna putih itu. Mungkin sahaja Putri itu bukan nama watak tetapi membawa makna yang lain pula.

Jika sahaja Putri itu sebuah watak di dalam buku ini, mengapakah warna biru muda itu pula yang dipilih?

Warna biru termasuk di dalam kumpulan warna yang sejuk. Selain warna violet dan indigo. Jenis mereka yang termasuk dalam kategori warna biru ini selalunya orang itu dikaitkan dengan seseorang yang suka bersahabat. Seseorang yang mudah didekati dan disukai oleh orang sekeliling.

Mungkin jika ada watak Putri di dalam buku ini, watak itu memiliki sifat-sifat seperti yang disebutkan di atas. Dan kerana itu digunakan warna biru muda untuk tulisan Putri itu.

Warna biru juga sering merujuk kepada mereka yang berjiwa sensitif, mudah terasa. Amat mudah mengalirkan air mata dan bersedih di atas sesuatu perkara.

Golongan yang termasuk di dalam kategori warna biru ini juga merupakan mereka yang jarang memikirkan tentang wang dan kebendaan. Kerana mereka lebih mengutamakan interaksi dan perhubungan serta kasih sayang sesama manusia.

Kajian menunjukkan mereka juga lebih banyak menuruti daripada membangkang. Ini membuatkan orang lain mengambil kesempatan ke atas diri mereka.

Ini barangkali yang cuba disampaikan apabila pemilihan warna biru muda itu diletakkan ke atas tulisan Putri yang merupakan judul bagi buku ini.

Sebuah reka hias yang ringkas tapi padat dengan urutan makna yang tersirat.

Read more

Adik Datang - A Samad Said



Penulis : A. Samad Said
Judul : Adik Datang
Penerbit : Wira Bukit Sdn Bhd (2003)
Reka Bentuk Kulit : Mazlan Nor - Art Peak
Jurugambar : Jalil Kassim
ISBN : 983-41196-0-7


Sesungguhnya tiada apa yang 'super' pada kulit depan buku ini. Hanya dihiasi dengan beberapa tulisan yang dilatari gambar yang barangkali ianya suasana di tepi pantai dengan pohon kelapa yang menjulang tinggi berbaris-baris, dibelakangi gunung-ganang.

Dengan warna yang kelam, gambar ini seolah mahu menceritakan mengenai sesuatu ketenangan dan kedamaian. Barangkali juga ia tentang kesunyian, kesepian, atau mungkin mahu memerikan perihal kerinduan seseorang kepada kekasihnya.

Tulisan nama penulis dan judul buku ini ditulis dengan tinta berwarna emas di atas petak segi empat hitam. Menjadikan tulisan emas itu lebih menyerlah dan menarik mata pada kali pertama memandangnya. Disamping sebaris ayat yang di atasnya, 'Novel yang merakam hidup resah dan mesra dekad 40-an' yang juga diwarnakan dengan warna hitam.

Nama A Samad Said berhuruf besar itu, dengan tulisan emas, sebenarnya sudah mencukupi untuk para pembaca mengulik buku ini. Ada semacam tarikan yang menyedup minat pembaca pada buku ini hanya dengan nama itu sahaja.

Pada kulit belakangnya pula, gambar penulis buku, sasterawan negara, Datuk A Samad Said, diletakkan. Hiasan kulit belakang ini membuat buku ini lebih bernilai dan berharga.




Sebuah renungan daripada potret Pak Samad ini mengandungi satu ribu pengertian. Pandangan mata yang hanya bisa dimengertikan apabila pembaca menyelesaikan bacaan pada buku ini.

Jelingan dari mata redup tokoh besar dunia sastera Malaysia ini, boleh dikaitkan dengan rasa kedamaian, kesepian, serta kerinduan pada kulit depan buku ini. Ianya seperti saling berkait. Kemungkinan isi buku ini berkisah sekitar itu. Kisah damai, kisah sepi, kisah rindu.

Secara keseluruhannya reka hias kulit buku ini hanya 'biasa-biasa' sahaja, kecuali pada nama dan gambar Datuk A Samad Said itu.

Read more