Putri - Putu Wijaya




Penulis : Putu Wijaya
Judul : Putri
Penerbit : PT Pustaka Utama Grafiti (2004)
ISBN : 979-444-433-2


Reka kulit buku ini berlatarkan warna hitam. Warna yang gelap, yang selalu diertikan dengan sesuatu kejahatan, kekotoran, kekalutan, kemisterian. Namun ada juga kini yang menganggap warna hitam adalah sesuatu yang elegan, yang bergaya, yang anggun, terutama apabila melibatkan feksyen pada pakaian dan si pemakai.

Disebalik warna kegelapan pada sebahagian besar kulit buku ini, ia turut menghadirkan warna putih di atas warna hitam tersebut. Warna kesucian dan kebersihan.

Putih di atas hitam.

Kejernihan membumbung kekusutan.

Kemuliaan disebalik kehinaan.

Warna putih pada kulit depan buku ini pula membentuk seekor burung yang sedang terbang sambil di paruhnya mengerip sekuntum bunga berserta tangkainya, yang juga berwarna keputihan.

Seolah simbolik kepada sesuatu yang bersih yang terperangkap di lembah yang kotor serta hina, dan cuba untuk terbang melepaskan diri dari kekotoran itu dengan membawa sesuatu yang bersih, yang harum, takwilan kepada bunga yang dibawa terbang sekali oleh burung tersebut.

Pada gambar burung putih itu pula, terdapat dart yang tepat mengenai pada badan burung tersebut.

Pemainan dart biasanya memerlukan pemainnya untuk melontarkan bilah dart ke atas papan yang disediakan. Gambaran dart di atas badan burung tersebut, menceritakan tentang seseorang yang mempunyai niat jahat terhadap watak burung itu sehingga sanggup menyakitinya dengan balingan dart tersebut.

Dari apa yang diberikan pada kulit depan buku ini kita dapat merumuskan begini,

Suatu watak yang baik, yang dikelilingi oleh sekalian banyak kejahatan, cuba melepaskan dirinya dari lingkungan kedurjanaan itu. Namun oleh kerana kedengkian suatu watak yang lainnya, telah melemparkan tikaman tajam yang menusuk ke atas watak baik tersebut.

Tajuk buku ini, Putri. Ditulis dengan tulisan berwarna biru muda. Kemungkinan Putri itu adalah watak utama di dalam buku ini dan ia juga barangkali mewakili simbol burung berwarna putih itu. Mungkin sahaja Putri itu bukan nama watak tetapi membawa makna yang lain pula.

Jika sahaja Putri itu sebuah watak di dalam buku ini, mengapakah warna biru muda itu pula yang dipilih?

Warna biru termasuk di dalam kumpulan warna yang sejuk. Selain warna violet dan indigo. Jenis mereka yang termasuk dalam kategori warna biru ini selalunya orang itu dikaitkan dengan seseorang yang suka bersahabat. Seseorang yang mudah didekati dan disukai oleh orang sekeliling.

Mungkin jika ada watak Putri di dalam buku ini, watak itu memiliki sifat-sifat seperti yang disebutkan di atas. Dan kerana itu digunakan warna biru muda untuk tulisan Putri itu.

Warna biru juga sering merujuk kepada mereka yang berjiwa sensitif, mudah terasa. Amat mudah mengalirkan air mata dan bersedih di atas sesuatu perkara.

Golongan yang termasuk di dalam kategori warna biru ini juga merupakan mereka yang jarang memikirkan tentang wang dan kebendaan. Kerana mereka lebih mengutamakan interaksi dan perhubungan serta kasih sayang sesama manusia.

Kajian menunjukkan mereka juga lebih banyak menuruti daripada membangkang. Ini membuatkan orang lain mengambil kesempatan ke atas diri mereka.

Ini barangkali yang cuba disampaikan apabila pemilihan warna biru muda itu diletakkan ke atas tulisan Putri yang merupakan judul bagi buku ini.

Sebuah reka hias yang ringkas tapi padat dengan urutan makna yang tersirat.

0 comments:

Post a Comment